Maksudnya:-Dengan nama Allah, yang tidak memberikan mudarat sesuatu di bumi juga di langit dan Dia maha mendengar lagi maha mengetahui

Join The Community

Buletin Home Bekam - Kesihatan Kaki




SAKIT bahagian belakang badan, lenguh kaki serta pening. 95% peratus daripada alasan ini, dikaitkan dengan tekanan akibat kerja, sedangkan kita tidak menyedari ia sebenarnya mungkin berpunca daripada bahagian tapak kaki yang mengalami tekanan akibat menanggung beban badan.

Memakai kasut bertumit tinggi serta kasut tidak selari dengan bentuk kaki, antara bebanan terpaksa diterima oleh kaki dalam menjalani tugasannya seharian. Walaupun kaki kecil dari anggota badan, ia mampu menanggung berat badan ideal, tetapi apabila bebannya semakin besar (badan gemuk, bertumit tinggi sepanjang masa umpamanya), ia boleh `memberontak´ sakit dan tandanya terserlah dengan sakit bahagian kaki, seterusnya membawa sakit ke seluruh sendi tubuh.

Kaki, terdiri daripada
26 tulang, 33 sendi, 107 ligamen dan 19 otot. Satu perempat daripada semua tulang dalam tubuh badan manusia terletak pada bahagian kaki.
Apabila tulang ini terkeluar dari kedudukannya, ia akan menyebabkan rasa sakit pada kaki, lutut, tulang belakang dan juga leher. Ia boleh menyebabkan rasa sakit bila berdiri, berjalan atau berlari. Bayangkan apabila seorang manusia biasa mengambil 8,000 hingga 10,000 langkah setiap hari, bukankah beban itu makin besar?

Pakar Orthotik & Prostetik, Klinik MyOrtho Rehab, Edmund Lee, berkata jika dibandingkan dengan lelaki,
wanita empat kali lebih kerap menghadapi masalah sakit pada bahagian kaki.
Katanya, kegemaran wanita memakai kasut tumit tinggi adalah punca biasa masalah kaki waktu muda dan lebih teruk apabila usia meningkat kerana bertahun-tahun memakai tumit tinggi. 

Untuk lelaki dan kanak-kanak pula, kasut yang tidak sepadan atau faktor kesakitan lain punca sakit pada kaki.

"Kaki mencerminkan kesihatan keseluruhan anda. Keadaan seperti radang sendi, kencing manis, masalah saraf dan peredaran darah boleh menunjukkan gejala awal mereka di kaki kita, jadi masalah kaki kadangkala adalah tanda pertama masalah kesihatan yang lebih serius. Maka, amat penting bagi semua orang untuk membuat pemeriksaan kaki dengan kerap.


Persoalannya, siapakah pakar kesihatan yang paling sesuai untuk memeriksa kaki anda?
Apabila anda mengalami sakit kaki atau mempunyai kecacatan kaki, anda boleh berjumpa dengan Pakar Kaki (Podiatrist). Pakar Kaki akan membuat diagnosis dan merawat masalah kaki. Kes yang lebih serius akan dirujukkan ke Pakar Bedah Ortopedik Kaki & Buku Lali. Selepas diagnosis, kebanyakan pesakit dengan masalah kaki memerlukan alat bantuan orthotik serta kasut khas dan dia akan dirujukkan ke pakar Orthotik.
Siapa pula yang perlu menjalani pemeriksaan kaki?
Kanak-kanak yang mengalami kesakitan kaki, kecacatan kaki, yang tidak mempunyai kasut atau gaya jalan yang baik; wanita dan lelaki yang mengalami sakit kaki, lutut, pinggul atau belakang; pesakit dengan masalah kesihatan yang menjejaskan kaki mereka seperti rheumatoid arthritis perlu menjalani pemeriksaan kaki.

Selain itu, pesakit kencing manis, masalah saraf atau peredaran darah dan ahli sukan yang mengalami kecederaan kaki atau lutut, sakit pinggul kerana pilihan kasut sukan salah, kecacatan kaki secara semula jadi atau kelemahan dan kehausan pada sendi kaki akibat latihan sukan yang bertahun lamanya juga perlu berbuat demikian.

"Kaki yang sempurna adalah sesuatu yang jarang didapati, namun semua individu boleh mendapat manfaat daripada alat bantuan orthotik," katanya.

Perbandingan mudah, kata Lee, alat bantuan orthotik dan kaca mata. Kedua-duanya memperbaiki ketidaksempurnaan pada tubuh badan. Kaca mata memperbaiki penglihatan supaya dapat melihat pada potensi yang maksimum. Bahagian dalam kasut alat bantuan orthotik yang ditempah khas akan memperbaiki kedudukan atau keselarian kaki, melindungi dan menyokong penyembuhan kecederaan kaki

Jelas Lee, alat bantuan perubatan tapak kasut orthotik dipakai antara lain bertujuan menyerap tekanan dan memberikan lebih keselesaan kepada kaki. Apabila alat bantuan itu dipreskripsikan, ia harus dibuat dan dipasangkan oleh pakar orthotik yang berkelayakan.

Pakar Orthotik dilatih untuk memahami bentuk dan fungsi kaki serta anggota bawah badan. Dia akan menilai, mengukur, mereka, membuat dan memadankan alat bantuan orthotik. Di negara maju, pakar orthotik adalah seorang ahli unit pemulihan yang penting dan adalah sebahagian daripada pasukan penjagaan kesihatan bersama dengan pakar bedah ortopedik, jururawat dan ahli fisioterapi.

"Pemeriksaan penting bagi mengenal pasti punca kesakitan pada bahagian bawah belakang, pinggul, lutut, kaki, pergelangan kaki, tumit kaki, lengkungan tapak kaki, ibu jari kaki atau bahagian bulat pada tapak kaki.

"Dalam proses pemeriksaan, saya akan akan memeriksa kaki berserta kedudukan tubuh atau gerak geri waktu tidak memikul berat (duduk), waktu memikul berat (berdiri) dan sewaktu berjalan. Pemeriksaan ini juga akan menilai kekuatan otot, kadar pergerakan pada sendi yang penting dan hubungan antara segmen kaki dan tapak kaki," katanya.

Dalam pada itu, maklumat diperoleh daripada penilaian biomekanik akan membawa kepada pelaksanaan rancangan penjagaan yang akan membentuk dasar program pemulihan seperti senaman regangan bagi menguatkan otot tertentu dan preskripsi berfungsi alat orthotik yang ditempah khas.

INFO
Cara melangkah dengan betul dan tidak menyakitkan :

* Bebola tapak kaki betul-betul ke permukaan bertujuan menyerap berat badan.

* Keseluruhan tapak kaki berada atas permukaan.

* Hujung jari terangkat ke atas.




Sumber : Emedia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...